Polis menembak mati dua penjenayah dipercayai warga asing dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Gopeng, Batu Gajah, awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, kedua-dua penjenayah ditembak selepas mereka melepaskan tembakan ke arah polis dalam usaha melarikan diri.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Osman Salleh, kejadian berlaku selepas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D9 Bukit Aman bersama JSJ IPK Perak terserempak dengan penjenayah terbabit sedang melintas jalan dalam keadaan yang mencurigakan.

Tambah beliau, polis terpaksa mengejar penjenayah itu sejauh 100 meter ke kawasan semak berdekatan ketika diminta untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan.

“Polis terserempak dengan suspek di satu kawasan lapang sebelum mereka melepaskan tembakan ke arah polis.

“Dalam kejadian tembak-menembak itu, polis menumpaskan dua orang suspek manakala seorang lagi telah melarikan diri,” beliau berkata.


Tiada dokumen diri didapati pada mayat suspek yang dipercayai berumur antara 30 hingga 40 tahun.

Kumpulan penjenayah ini juga dipercayai aktif dalam kegiatan samun dan pecah rumah sejak awal tahun ini.

Turut ditemui di tempat kejadian dua bilah parang, sepucuk pistol jenis Berreta serta pelbagai kelengkapan pecah rumah.

Osman berkata, dengan tertumpasnya dua penjenayah itu, polis Perak berjaya menyelesaikan lebih kurang 15 kes samun di daerah Ipoh dan Batu Gajah.

Tambah beliau, anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang memburu seorang lagi penjenayah yang berjaya meloloskan diri itu.